Wednesday, March 24, 2010

TINGKATAN ENAM : SALURAN KE MENARA GADING

Pada hari ini saya ingin mengulas berkaitan tingkatan enam, satu fasa pembelajaran formal di peringkat menengah tinggi di negara ini. Dua hari yang lalu saya dihubungi oleh seorang rakan yang bertanyakan pandangan tentang prospek kemasukan ke tingkatan 6 untuk anaknya. Anaknya ditawarkan ke program matrikulasi akaun di utara tetapi menolak, sekarang ditawarkan ke tingkatan 6 rendah dalam aliran sains dan dalam masa yang sama dalam dilema menunggu tawaran mengikuti program diploma di universiti tempatan tetapi masih belum ada kepastian. Nasihat saya lebih kepada penjelasan tentang kebaikan matrikulasi, tingkatan 6 dan program diploma. Bagaimanapun keputusan memilih perlu bergantung kepada kecenderungan, minat, perancangan cita-cita/ impian dan kelayakan yang diperolehi dalam SPM. Akhirnya saya difahamkan anak rakan saya itu memilih untuk mengikuti pengajian di peringkat diploma.

Tahun ini seramai 180,630 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan layak memasuki Tingkatan Enam Bawah di 765 sekolah menengah harian dan teknik seluruh negara, tahun ini seperti diumumkan oleh Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir dan daripada jumlah itu, 127,879 layak memasuki aliran kemanusiaan, manakala 52,751 lagi sains. Jumlah berkenaan juga tidak termasuk 32,685 lulusan yang mendapat tawaran memasuki program matrikulasi. Jumlah yang layak dan ditawarkan ini boleh dianggap sebagai satu petanda atau gambaran baik kepada status tingkatan enam. Bagaimanapun seperti juga tahun-tahun lalu daripada sejumlah yang ditawarkan difahamkan sebilangan mereka menolak untuk memasuki tingkatan 6.

Sesungguhnya, selama ini tingkatan enam sering dijadikan pilihan terakhir oleh pelajar apabila mereka gagal meraih tempat ke IPT. Prasarana pendidikan di negara kita yang semakin banyak menawarkan kursus-kursus atau program-program untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama ada IPTA atau IPTS merupakan salah satu faktor wujudnya sikap sebahagian besar lulusan SPM yang seolah-olah mengetepikan tingkatan enam. Barangkali hal ini berlaku kerana golongan pelajar ini beranggapan pendidikan pada peringkat tingkatan enam tidak memberi manfaat yang banyak, susah dan mencabar, atau saluran yang lambat untuk memperoleh ijazah. Tidak kurang pelajar yang mahu mengetepikan tingkatan enam kerana dikatakan tidak glamor. Selain itu ramai pelajar yang mendapat keputusan baik dalam SPM menolak tingkatan enam adalah kebanyakan daripada mereka lebih berminat melanjutkan pelajaran mereka di luar Negara. Bagi pelajar-pelajar tersebut, belajar di luar negara adalah lebih baik daripada di universiti tempatan kerana mereka berfikiran bahawa sistem pendidikan di luar negara adalah lebih baik. Selain itu, ramai pelajar menolak tingkatan enam kerana mereka berfikiran bahawa tingkatan enam hanya membuang masa sahaja. Universiti dan Kolej swasta mempunyai kursus-kursus matrikulasi dan "foundation" yang mempunyai tempoh yang lebih pendek daripada tingkatan enam. Maka , mereka boleh melanjutkan pelajaran ke menara gading lebih awal berbanding daripada pelajar-pelajar tingkatan enam. Tanggapan seperti inilah yang sebenarnya membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam.

Berdasarkan peningkatan peratusan pengambilan pelajar ke tingkatan enam yang berlaku pada tahun lalu, nyata pihak kementerian tidak mahu pelajar khususnya lepasan SPM mempunyai persepsi yang salah terhadap kewujudan tingkatan enam. Pihak kementerian dilihat menggalakkan kemasukan pelajar ke tingkatan enam sebelum melangkah ke menara gading. Sememangnya hal sedemikian yang diharapkan. Lulusan SPM seharusnya menyedari bahawa pada peringkat inilah mereka akan dapat memperkembangkan potensi diri dengan hanya bantuan minimum daripada pihak guru.Mereka mula didedahkan kepada pembelajaran bercorak penyelidikan ringkas atau penemuan sendiri dan tidak lagi terlalu terikat atau bergantung kepada teks tertentu sahaja. Mereka sebenarnya mula disediakan dengan suasana kendiri. Justeru, apabila memasuki universiti, golongan ini akan lebih berdaya saing dan memanfaatkan sepenuhnya suasana pendidikan di menara gading ini. Hal ini terbukti berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, bahawa sesungguhnya pensyarah-pensyarah di IPT lebih menyenangi mahasiswa ijazah pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Golongan ini dinyatakan sebagai golongan yang lebih mudah menyerap ilmu, lebih matang dan cepat bertindak berbanding lepasan SPM mahupun lepasan diploma yang tidak melalui pembelajaran tingkatan enam.

Dari segi masa memperolehi ijazah pertama, seharusnya perkara ini bukan alasan untuk mengetepikan tingkatan enam. Sebenarnya pelajar lepasan SPM yang memasuki IPT tidak semestinya mengikuti pengajian ijazah pertama. Mungkin juga hanya peringkat diploma. Lazimnya di negara kita, program diploma mengambil masa tiga tahun untuk ditamatkan kemudian barulah diterima mengikuti program ijazah pertama yang biasanya mengambil masa tiga tahun juga. Berbanding lepasan STPM, mereka sebenarnya akan memperolehi ijazah pertama setahun lebih awal, iaitu hanya dua tahun pada peringkat tingkatan enam dan tiga tahun pada peringkat ijazah pertama. Glamor atau tidak bukan lagi menjadi perkara penting. Kematangan pelajar dan kejayaan mereka memperoleh kejayaan lebih diutamakan.
Justeru, lepasan SPM yang masih belum menyedari gambaran sebenar tingkatan enam perlu sekurang-kurangnya berinteraksi dengan guru atau bekas guru mereka agar mendapat gambaran yang tepat mengenai tingkatan enam dan hubung kait dengan arah tuju pendidikan. Sementara itu, guru pula perlu memainkan peranan untuk mengikis persepsi rendah terhadap tingkatan enam. Pelajar seharusnya didedahkan kepada hal ini ketika berada di tingkatan lima lagi. Pelajar yang sudah memasuki tingkatan enam harus juga diberitahu mengenai hal ini agar mereka boleh mencongak arah tuju pendidikan mereka. Ini perlu kerana ada di kalangan ini meninggalkan tingkatan enam apabila mereka ditawarkan untuk mengikuti program di universiti. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah untuk memberi lebih banyak tawaran kepada pelajar lepasan STPM untuk ke universiti. Kerajaan harus membina lebih banyak universiti supaya pelajar-pelajar dapat menyambung pelajaran mereka di universiti tempatan dan pelajar tidak perlu risau sama ada mereka mendapat tempat dalam universiti tempatan atau tidak. Sesungguhnya tingkatan enam itu adalah asas penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran di menara gading. Malah, berada di tingkatan enam itu sendiri merupakan pengalaman yang amat berharga. Sebagai graduan yang pernah melalui tingkatan 6 sebenarnya perasaan fobia di kalangan lepasan SPM ini perlu dikikis. Apa yang penting tingkatan 6 perlu dijadikan medium untuk kita cemerlang dari segi pencapaian akademik, kematangan dari segi sahsiah, interpersonal, komunikasi dan lain-lain sebagai persediaan memasuki menara gading dan kerjaya.

No comments: