Sambutan Ambang Kemerdekaan SMK Jelapang Jaya
IPOH – Sempena Hari Ulangtahun Kemerdekaan Negara kali ke-53 ini, SMK Jelapang Jaya turut sama meraikannya dalam suasana penuh gilang gemilang. YB Dato’ Haji Hamdi bin Abu Bakar, Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, merangkap Penasihat Penerangan Y.A.B Menteri Besar telah menyempurnakan sambutan ini dengan memberikan ceramah “bicara kemerdekaan” kepada hampir 1200 pelajar SMK Jelapang Jaya.
Majlis bermula jam 12.30 tengah hari dengan ketibaan tetamu jemputan yang diiringi masuk ke Dewan Besar SMK Jelapang Jaya. Kemudian diikuti perarakan masuk Jalur Gemilang dengan dimainkan lagu Jalur Gemilang yang dinyanyikan beramai-ramai oleh semua pelajar. Majlis bermula dengan rasmi apabila Lagu Negaraku, Lagu Negeri Perak dan Lagu Sekolah dinyanyikan, seterusnya ucapan aluan oleh Pengetua, Puan Hajah Norizam binti Husin. Menurut beliau, matlamat sambutan ini adalah untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar selaras dengan Teras Pertama dan Teras Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Selepas selesai YB Datuk Hj Hamdi berucap, acara deklamasi sajak disampaikan oleh tiga kumpulan pelajar berbilang kaum, sesuai dengan Konsep 1 Malaysia yang dilaungkan oleh Kerajaan. Acara sambutan diakhiri dengan nyanyian lagu-lagu patriotik seperti Lagu 1 Malaysia, Lagu Jalur Gemilang dan Tanggal 31.
.
No comments:
Post a Comment